Di sebalik aksi ganas dan keras sukan seni bela campuran (MMA), biasanya terselit nilai-nilai kemanusiaan yang mungkin jarang dapat disaksikan di luar gelanggang.

Itu yang ditunjukkan dua atlet MMA yang bertarung pada awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Ketika Khabib Abdulmanapovich Nurmagomedov terduduk dan terharu di tengah gelanggang sejurus, lawannya, Justin Gaethje datang dan memberikan kata-kata semangat sambil merangkul atlet Dagestan itu.

Hanya beberapa detik sebelum itu Gaethje tidak sedarkan diri gara-gara gerakan kunci tiga segi dilakukan Khabib dalam perlawanan dilangsungkan di Abu Dhabi.

Namun selepas tersedar kembali dan melihat Khabib sedang berlawan dengan perasaannya di gelanggang Gaethje segera mendapatkan atlet berkenaan dan memeluknya.

Seperti orang lain, Gaethje sedar perlawanan itu adalah yang pertama disertai Khabib selepas bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada Julai lalu.

Abdulmanap berusia 57 tahun dan menjadi orang terpenting yang banyak membentuk Khabib menjadi petarung yang disegani lawan sejak sekian lama.

Tidak itu saja kejutan yang berlangsung. Tidak lama kemudian Khabib, 32, mencampakkan sarung tangannya ke lantai gelanggang dan mengambil mikrofon.

Dia kemudian mengumumkan persaraannya. Ia dilakukan dalam keadaan dia tidak pernah dikalahkan dan kedudukannya berada di puncak.

“Ini adalah pertempuran terakhir saya,” katanya, “dan mustahil saya berada di sini tanpa ayah.”

Sementara itu Presiden UFC, Dana White, memberitahu media kemudian, tiga minggu lalu Khabib dirawat di hospital kerana mengalami patah tulang pada kaki dan jarinya.

Sepanjang tempoh menjadi petarung MMA, Khabib memenangi semua 29 perlawanan yang disusun untuk dia, dengan lapan daripadanya melalui KO dan  11 lagi submission.