Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, beberapa daerah di Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang dilanjutkan bermula 1 Januari sehingga 14 Januari depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, masyuarat hari ini juga memutuskan, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju untuk menamatkan PKPB yang dikenakan di daerah Ipoh, Chemor dan Mukim Ulu Kinta di Perak, daerah Port Dickson, Negeri Sembilan dan daerah Kulai di Johor bermula hari ini.

“PKPB ini dilanjutkan di negeri berkenaan dan daerah Seremban di Negeri Sembilan, daerah Johor Bharu dan Batu Pahat di Johor, Mukim 12 di Barat Daya dan Mukim 13 di Barat Laut, Pulau Pinang susulan kes yang dicatatkan menunjukkan peningkatan dan jumlah yang tinggi.

“Di Selangor kini semua daerah adalah dikategorikan sebagai Zon Merah termasuk Sabak Bernam yang sebelum ini adalah Zon Hijau.

“Susulan itu kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKPB di semua negeri dan kawasan itu,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, lima daerah yang ditamatkan PKPB menunjukkan trend penurunan dalam tempoh 14 hari lalu iaitu dari 14 Disember sehingga 27 Disember.

“Kerajaan atas nasihat KKM memutuskan untuk menamatkan PKPB di kawasan berkenaan bermula hari ini.

“Kita juga ingin menasihatkan kepada rakyat supaya tidak menyalahguna kelonggaran yang diberikan. Patuhilah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.