Menganggap setiap kejadian berlaku mempunyai hikmah tersendiri, pelakon, penyanyi dan pengacara Alif Satar menyeru agar tiada rakyat negara ini memandang serong mana-mana pesakit Covid-19.

Dia yang baru sembuh daripada Covid-19 selepas selesai menjalani rawatan di Hospital Melaka selama 12 hari berkata, sikap negatif seperti itu tidak menunjukkan ciri-ciri baik seorang rakyat yang baik terutama dalam kalangan orang beragama Islam.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi atas segala nikmat, rezeki, kesihatan dan kebahagiaan yang dikurniakan-Nya. Sukacita Alif ingin berkongsi, selepas 12 hari dikuarantin di Hospital Melaka serta atas berkat doa seluruh rakyat Malaysia buat Alif sekeluarga, Alif kini kembali sihat.

“Namun, di sini ada sesuatu Alif ingin tekankan. Alif menyeru seluruh rakyat Malaysia menghidupkan cogan kata Kita Jaga Kita dengan sepenuh jiwa bagi membendung sama ada wabak negatif, memulau, mengasingkan dan memandang serong mereka yang terkesan dengan wabak ni.

“Tiada siapa minta untuk dijangkiti. Budaya negatif tu bukanlah ciri baik sebagai rakyat Malaysia terutama buat kita yang beragama Islam,” katanya di media sosial hari ini.

Menurut Alif lagi Islam mengutamakan sifat kasih sayang bukan saja menjaga hubungan dengan Allah tetapi sesama manusia.

Pada 22 November lalu, pemilik nama penuh Muhammad Alif Mohd Satar itu mengesahkan dia positif Covid-19. 

Perkara itu dimaklumkan dua hari selepas dia selesai melakukan persembahan I Want You To Love Me pada separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (MM35) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Alif, 30, memberitahu, dia kini sudah kembali ke pangkuan keluarga untuk melepaskan rindu.

Alif yang juga pelakon drama Dia Semanis Honey itu berkata dia ingin meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali menjalani rutin kerjayanya.

“Saya sudah kembali ke pangkuan keluarga.

“Selepas berjauhan dengan isteri dan anak-anak, Alif yakin ramai yang tahu dan dapat rasakan betapa berat perasaan rindu.

“Jadi Alif mengambil beberapa hari untuk meluangkan masa bersama seluruh ahli keluarga sebelum Alif kembali bekerja seperti biasa,” katanya.