SUSULAN memberi kritikan pedas terhadap persembahan Noraniza Idris, pengarah Michael Ang bersedia untuk bersemuka dengan peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu.

Bukan hanya Noraniza Idris, Michael, 44, berkata, semua peserta program tersebut juga menerima kritikan sekiranya membuat persembahan tidak bagus.

Tegas Michael, seorang selebriti itu sepatutnya sudah bersedia berdepan dengan segala kritikan sebaik sahaja menyertai pertandingan realiti.

Sebelum ini, Noraniza luah rasa kesal dengan sikap Michael yang memberi kritikan pedas terhadap persembahannya.

Saya ada juga beri kritikan kepada peserta GV7 dan program realiti lain.

MICHAEL ANG
PENGARAH

“Saya tak ada masalah nak jumpa tapi saya akan cakap benda sama. Dia menyanyi lagu tradisonal memang bagus tapi untuk lagu genre lain.

“Bukan saya seorang yang komen macam itu, ramai netizen buat benda yang sama. Saya komen berdasarkan persembahan dia… kalau tak bagus, saya cakap tak bagus dan sebaliknya.

“Saya ada juga beri kritikan kepada peserta GV7 dan program realiti lain, kalau tak boleh terima kritikan jangan masuk pertandingan realiti.

“Saya manusia biasa dan saya komen sebagai diri saya, bukan sebagai seorang pengarah atau orang yang dikenali,” kata Michael ketika dihubungi mStar pada Selasa.

Michael sebelum ini lantang memberikan komen dalam setiap persembahan peserta GV7 di Twitter dan Noraniza antara penyanyi yang sering mendapat kritikan daripadanya.

Sehubungan itu, Noraniza meluahkan rasa kesal dan berhasrat ingin bersemuka dengan pengarah tersebut selepas tamat program berkenaan.

Menerusi laporan mStar pada Isnin, Noraniza memberitahu apa yang ditulis pengarah Perempuan Tanpa Dosa itu telah menggores hati ahli keluarganya.

Dalam pada itu, Michael turut berasa terkilan dengan kenyataan seorang pengguna akaun Facebook yang menuduh dia memeluk Islam untuk meraih populariti.

Michael memuat naik status individu yang menuduhnya memeluk Islam kerana populariti.

Biarpun tidak mengetahui individu disebalik akaun yang meninggalkan status itu di laman Facebook Noraniza, namun Michael menganggap perihal melibatkan agama merupakan isu sensitif.

“Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak tapi status yang menuduh saya masuk Islam semata-mata nak popular itu daripada akaun Facebook dia (Noraniza).

“Kalau betul saya masuk Islam nak popular, lebih baik dari awal saya tayang video saya ucap kalimah syahadah. Saya tidak marah tapi saya terkilan dengan status tersebut.

“Nak kritik atau kutuk saya ini gemuk ke tak sedar diri ke, tak apa. Tapi jangan libatkan agama dan ibu bapa saya. Tapi, saya dah maafkan individu yang muat naik status itu,” ujarnya.

Sekitar Ogos tahun lalu, Michael akhirnya membuat pengakuan bahawa dia sudah memeluk agama Islam kira-kira setahun lalu.