SEMPENA menyambut ulang tahun pertama perkahwinan pada 12 Disember, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof mengumumka isterinya iaitu Datin Seri Natasha Rosa kini hamil.

Aktor berusia 49 tahun itu berkongsi berita gembira tersebut menerusi laman Instagram dengan memuat naik foto bersama isteri tersayang dan mengucap terima kasih kepada semua yang mendoakan mereka.

Menurut pelakon filem Town Mall ini, dia memilih untuk memberitahu perkara tersebut selepas kandungan isterinya kini sudah mencecah lima bulan.

Mereka asyik tanya mama (Tasha) bila lagi mereka boleh dapat adik.

EIZLAN YUSOF

PELAKON

“Alhamdulillah, dia dah stabil sekarang tapi biasalah dalam tempoh dua… tiga bulan pertama agak huru-hara kerana Tasha tiada selera makan dan pasti muntah semula selepas makan sebab alami morning sickness yang teruk.

“Tapi sekarang, makan pun berselera dan berat badan bertambah. Alhamdulillah, tiada permintaan untuk makan yang bukan-bukan. Malah, yang penting dia dan anak dalam kandungan sihat.

“Kami pun dah beberapa kali jumpa doktor untuk pemeriksaan dan semuanya dalam keadaan baik,” kata Eizlan menerusi laporan Harian Metro pada Ahad.

Ruang komen di perkongsian tersebut turut dipenuhi dengan ucapan tahniah dan doa daripada netizen serta rakan selebritinya.


Anak-anak Eizlan teruja nak dapat adik.

Dalam pada itu, Eizlan memberitahu tiga orang anaknya daripada hasil perkahwinan sebelum ini iaitu Vie Zara, 12, Zareef Yusof, 10, dan Vie Zaara, 7, teruja untuk menerima kehadiran ahli keluarga baharu tidak lama lagi.

“Anak-anak yang lain iaitu, memang suka ada adik. Mereka asyik tanya mama (Tasha) bila lagi mereka boleh dapat adik. Jadi mereka teruja apabila dapat tahu Tasha mengandung.

“Mereka pun tak kisah sama ada akan dapat adik lelaki ataupun perempuan, asalkan bayi sihat serta selamat,” ujarnya.

Perkahwinan Eizlan dan Natasha yang diadakan di Putrajaya mendapat perhatian disebabkan ia berlangsung selama empat hari berturut-turut serta menelan kos lebih RM1 juta.