SEBAGAI pengguna, kita pasti merasakan pesatnya perkembangan teknologi saat ini. Ya! Jika dibanding beberapa puluh tahun lalu, teknologi hari ini dilihat sangat maju dan semakin memudahkan pengguna.

Jika dulu tidak capaian internet, tapi sekarang internet sudah menjadi ‘makanan’ sehari-hari dan sangat diperlukan oleh semua golongan, baik tua mahu pun muda.

Seperti televisyen (TV) pula, ia juga boleh dianggap sebagai satu keperluan bagi sesetengah orang dalam menjalani kehidupan seharian.

Menonton TV hari ini sangat berbeza dengan menonton TV pada zaman dahulu, ketika pertama kali dilancarkan pada awal abad ke-20.

Dahulu TV hanya mampu menghasilkan gambar hitam putih. Kini, TV juga mampu untuk dihubungkan dengan sambungan internet yang dinamakan televisyen pintar atau smart-TV.

Pelbagai jenis Smart-TV yang tersedia dipasaran dilengkapi OS Android seperti yang terdapat pada smartphone sehingga TV juga mampu digunakan untuk melayari laman sosial, kiiman email, bahkan menonton video kesukaan di Youtube dengan sangat mudah! Canggih bukan?

Namun syarikat elektronik terkemuka Korea Selatan, LG, ada idea yang lebih ke hadapan yang mana baru-baru ini LG telah melancarkan televisyen gulung (rollable television) pertama di dunia.

Wow! Dah canggih makin canggih lagi!

Menurut LG TV gulung tersebut dikeluarkan dalam bilangan yang terhad di Korea Selatan sahaja.

TV gulung yang dikenali sebagai LG Signature OLED R itu berukuran 65-inci dan kini ia boleh didapati di tujuh buah kedai elektronik di seluruh negara dengan harga 100 juta won, atau kira-kira RM362,000.

Skrin televisyen berkenaan boleh ‘digulung’ dan disembunyikan apabila dimatikan atau tidak digunakan. Ia juga boleh dinaikkan separuh untuk berfungsi sebagai dash board.

“Rekaan terbaharu kami akan memberi kebebasan kepada pengguna untuk tidak lagi terhad dengan keterbatasan dinding, sekali gus membolehkan mereka menyusun dekorasi kediaman tanpa perlu mengasingkan satu ruang untuk skrin hitam besar yang hanya berguna ketika dihidupkan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

TV ini kali pertama dipaparkan kepada umum sebagai prototaip pada 2018. Namun, ia hanya mula dijual tahun ini kerana kesukaran mencari pasaran yang sesuai.

Canggih bukan? Jangan ingat kain sahaja boleh digulung, TV zaman sekarang pun boleh gulung tau!.

info: lg