KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Khai Bahar lebih berhati-hati menerima tawaran bergelar duta produk berikutan terpalit dengan penyebaran sekeping foto bersama usahawan kosmetik yang ditahan polis atas dakwaan kes dadah, baru-baru ini.

Khai berkata, dia hanya dilantik sebagai duta produk yang mana pemiliknya ditahan dalam dua serbuan sekitar Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, Selangor selepas disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan dadah methamphetamine rentas negara.

“Gambar berkenaan dirakamkan sekitar September lalu ketika sesi pertemuan dan perbincangan membabitkan pelantikan saya sebagai duta produk keluaran syarikat usahawan kosmetik ini.

“Bagaimanapun, saya tak mengetahui aktiviti perniagaan usahawan berkenaan. Saya juga tak tahu mengenai pembabitannya dalam kes yang disabitkan. Namun, saya sedar gambar kami tular dalam laman sosial.

“Saya baru sahaja dilantik sebagai duta untuk produk minuman syarikat ini. Saya hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab. Bagaimanapun, segala kerja dan komitmen sebagai duta masih belum bermula hingga saat ini,” katanya kepada BH Online.

Khai ditemui ketika majlis pelancaran Konsert Inteam 20 Tahun dalam talian di pejabat Inteam Records, Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Selain Inteam, Khai bersama UNIC, Hijjaz, Zayne, Lah Ahmad dan Exists akan tampil dalam konsert berkenaan.

Konsert secara virtual itu akan dipancarkan secara langsung dari Warisan Hall Studio Sijangkang, Selangor pada 12 Disember depan.

Foto Khai Bahar bersama usahawan yang ditahan tular dalam laman sosial, baru-baru ini.

Pemenang Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 bersama Siti Nordiana itu berkata, dia menyerahkan kepada peguam untuk membuat keputusan mengenai kontraknya sebagai duta.

Penyanyi lagu Luluh itu berkata, dia tidak terkesan apabila nama dan gambar dikaitkan dengan isu berkenaan.

“Saya serahkan kepada peguam sama meneruskan kerjasama atau sebaliknya. Sejujurnya, kerjaya saya tidak terkesan dengan isu ini. Saya hanya menjalankan tugas yang diamanahkan selaku duta.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku akan dijadikan pengajaran. Saya akan lebih berhati-hati sebelum bersetuju menerima tawaran produk,” ujarnya.

Oktober lalu, seorang usahawan kosmetik berpangkat Datu Seri dan adik lelakinya ditahan selepas disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan dadah jenis methamphetamine.

Ketika serbuan, suspek dua beradik itu menaiki Ford Mustang dan polis berjaya merampas 120 bungkusan teh cina mengandungi bahan disyaki dadah methamphetamine dengan anggaran berat 126.85 kilogram dan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM5 juta.

Polis turut merampas Ford Mustang yang dianggarkan bernilai RM500,000 yang didaftarkan atas nama isteri kepada suspek kedua.

Sumber: bharian