Susulan peningkatan kes jangkitan Covid di Sabah, penyanyi Marsha Milan Londoh turut berasa bimbang dengan keadaan keluarga di kampung halamannya, di Tamparuli, Sabah.

Menurut Marsha, 35, dia sentiasa menghubungi ibu bapanya untuk mengetahui keadaan mereka di sana.

“Alhamdulillah, keluarga semua okay. Lagipun, di kampung cuma ada ibu, ayah dan sepupu sahaja yang tinggal di rumah.

“Jadi, kami sebagai anak selalu nasihat ibu bapa. Biasalah mereka dah biasa buat kerja di luar, pergi ladang dan sebagainya. Buat masa ini, mereka hanya keluar untuk beri ayam makan sahaja,” katanya kepada Astro Gempak.

Menurut Marsha lagi, dia juga sering menasihati keluarganya untuk mengurangkan sebarang bentuk kontak fizikal dengan orang ramai.

“Adik-beradik saya pun sentiasa berhubung untuk tahu keadaan mereka. Mereka pun tak ada kontak fizikal dengan sesiapa.

“Keluarga pun tak ada keluar ke mana-mana. Gereja tutup dan aktiviti keagamaan dibuat menerusi media sosial sahaja,” katanya.

Cerita Marsha lagi, sejak pandemik Covid-19, dia juga masih belum berpeluang untuk pulang ke kampung halaman bertemu keluarga.

“Kali terakhir saya balik kampung awal tahun ini. Ikutkan ada perancangan nak balik sebelum kempen mengundi tempoh hari, tapi ada kekangan kerja, jadi tergendala.

“Ini dengar pula kes jangkitan Covid-19 di Sabah meningkat, tak sempat balik terus. Keluarga pun dah tanya sebab ada urusan keluarga tertangguh. Rasanya nak dekat 8 bulan saya tak balik,” katanya yang sebelum ini muncul dengan lagu bahasa Dusun, Hiti Oku yang bermaksud Saya Di Sini.

Sabah kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 26 Oktober ini.

Terdahulu, Sabah terus mencatatkan peningkatan kes paling tinggi iaitu 673 kes baharu dilaporkan semalam (20 Oktober 2020).

Sumber: Gempak